Saturday, 21 June 2014

20 makanan untuk kesihatan otak

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah


Pernah dengar tak orang kata "Kita apa yang kita makan?". Makanan memang memainkan peranan penting di dalam kehidupan kita. Kita makan untuk hidup. Ada ke orang hidup untuk makan? Hehe.

Apa yang ingin saya kongsikan kali ini adalah mengenai makanan yang telah dikenalpasti dapat membantu memberi rangsangan kepada otak/minda. Ada 20 semuanya. Jom kita tengok.

1. Avokado
Mudah tak nak cari avokado kat Malaysia ni? Kalau mudah, eloklah. Ia elok dimakan di waktu pagi. Disaingkan dengan telur dadar memang akan menjadi satu sarapan yang baik untuk otak di pagi hari.

2.  Blueberi
Tinggi fiber, rendah indeks glisemiknya, sangat bagus untuk mereka yang ada simptom diabetes. Kajian juga mendedahkan yang ia boleh mengurangkan kebarangkalian untuk mendapat Alzheimer. Elok dimakan begitu sahaja. Tetapi cuba elakkan yang telah dikeringkan.

3.  Ikan Salmon
Memang terkenal dengan Omega-3 yang elok untuk otak. Meningkatkan daya berfikir dan kepekaan, mengurangkan kemurungan dan hyperaktiviti.

4.  Kekacang
Mengandungi protein dan fiber. Banyak vitamin E. Antara kacang yang paling bagus adalah hazelnut, biji gajus, walnut dan almond. Juga elok untuk mereka yang ingin diet. Dulu saya takut nak makan kacang terutama sekali selepas melahirkan anak sebab bidan ada menyatakan ia tidak elok untuk peranakan. Ia mengandungi lemak yang boleh menyebabkan peranakan tidak masuk dengan betul. Tetapi rupanya kacang yang lebih tinggi lemaknya adalah kacang macadamia dan peanut. Yang lain pun ada lemaknya tetapi lebih kepada lemak yang baik (nanti akan diceritakan di entri yang lain).

5. Bijirin
Seperti biji bunga matahari, biji sesame, biji rami. Mengandungi protein dan vitamin E serta antioksidan untuk melawan stress. Sebab itu kalau kita makan kuaci biji matahari tu rasa gembira semacam je kan? Tak boleh berhenti pulak tu hehehe.

6. Kopi
Jangan terkejut. Kopi sebenarnya adalah bagus untuk otak sebab ia mengandungi fiber. Cuma resepinya adalah jangan minum terlampau banyak. Kalau setakat 2 cawan sehari boleh saja. Dan jangan letak gula. Saya pernah lihat orang yang minum kopi 3 in 1 meletakkan gula di dalam kopinya. Yang ini tolong elakkan. 
Kopi yang paling elok adalah espresso.

7.  Oat
Rasanya yang ini tidak perlu saya ulaskan lagi. Ramai sudah tahu khasiat oat. Sarat dengan fiber, protein dan sedikit Omega-3. 

8.  Kacang 
Tadi kekacang. Sekarang kacang pulak. Macam kacang merah, kacang hijau dan seumpamanya. Mengandungi banyak fiber, vitamin, mineral dan protein.

9.  Buah Delima
Ada buah ada jus. Lebih elok yang buah sebab ia lebih banyak fiber berbanding jus. Juga mengandungi antioksidan yang bagus untuk sel-sel badan. Ada orang pesan pada saya semasa saya mengandung dahulu dan kandungan saya mengandungi masalah uri di bawah, supaya saya mengambil buah delima untuk kesihatan bayi dan juga kesihatan diri sendiri. Alhamdulillah, senang pula saya dapat buah delima waktu itu. Dan di saat-saat akhir, uri itu berpusing naik dan saya tidak perlu melahirkan secara pembedahan.

10.  Beras perang.
Orang kita jarang makan beras perang ni kan? Saya sendiri pun tidak tahu sebarang resepi yang menggunakan beras perang. Tetapi mungkin kita boleh mencubanya sekali sekala. 

11.  Teh
Elok diminum panas untuk mendapatkan antioksidannya. Bila dah sejuk kurang sedikit khasiatnya. Juga tidak digalakkan minum banyak seperti kopi. 2-3 cawan sehari mencukupi. 

12. Coklat
Cadbury? Jangan marah aa. Coklat sebenarnya banyak antioksidan dan merangsang hormon serotonin yang menyebabkan kita rasa gembira semacam. Untuk lebih fiber, dark chocolate adalah pilihan yang baik. 

13.  Tiram
Kaya dengan selenium, magnesium, protein dan seumpamanya yang sangat elok untuk kesihatan otak. 

14.  Minyak Zaitun
Ini makanan sunnah kan? Sudah diketahui ia elok untuk radang perut. Sekarang ia juga adalah elok untuk kesihatan otak. 

15.  Ikan tuna
Satu lagi sumber Omega-3 dan juga vitamin B6 (untuk otak dan daya ingatan). 

16.  Bawang putih
Hari tu saya sudah terangkan kelebihan bawang putih. Ia juga tersenarai sebagai salah satu makanan yang elok untuk kesihatan otak.

17.  Telur
Mengandungi protein dan lemak untuk memberi tenaga kepada minda kita. Seeloknya pilihlah telur yang organik.

18.  Sayuran hijau
Ambillah setiap hari. Mengandungi zat besi yang boleh menghilangkan rasa penat, "blur", "blank" dan sebagainya.

19.  Tomato
Saya juga sudah menerangkan kelebihan tomato. Dan cara memakannya. Ia lebih elok jika ia diproses iaitu dijadikan sos (tanpa gula) atau jus.

20. Coklat/Koko
Yang dicincang dan tidak diproses. Seperti serbuk koko yang kita gunakan untuk buat kek. 

Demikianlah 20 jenis makanan yang elok dimakan untuk kesihatan minda/otak. Dan saya rasa semua juga tahu yang ianya baik untuk kesihatan tubuh badan juga, bukan setakat otak. Mudah-mudahan dengan mengamalkan pemakanan sebegini, kita dapat mengelak daripada nyanyuk dan lupa. Wallahuallam.





No comments:

Post a Comment