Saturday, 28 June 2014

Pre Puasa

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, Ramadhan tiba lagi. Rasa teruja. Dan terasa seperti banyak perkara yang nak dilakukan pada bulan mulia ini. Kerana bulan ini adalah bulan rahmat. Doa saya semoga segala aktiviti yang kami sekeluarga jalankan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan. Amiiin.

Ada niat di hati ingin ke pusat membeli-belah di pekan petang nanti. Tetapi baru sahaja diberitahu oleh suami yang satu daripada pusat membeli-belah di pekan itu sudah penuh. Tiada tempat "parking". Selang beberapa ketika, saya mendapat berita dari kawan di whatsapp yang pusat membeli-belah di Kajang juga sudah penuh. Hampir satu jam beliau pusing untuk cari tempat parking. Beliau terpaksa hadapi juga kerana ada temu janji di sana. Kalau diikutkan, mahu sahaja beliau balik.

Fenomena apakah ini? Saya kurang faham. Seingat saya dahulu perkara ini tidaklah seteruk ini. Memang suasana sibuk pada sehari sebelum Ramadhan, entah apa yang disibukkan pun saya tidak tahu. Mungkin membeli bahan-bahan masakan untuk bulan puasa ni? Kata kawan saya, mungkin shopping hari raya sebab dah tak nak keluar shopping lagi di bulan puasa nanti. Entah lah, mungkin juga. Walaupun saya nampak malam sebelum raya pun fenomena begini berlaku juga. Atau mungkin saya seorang yang jenis tak mengisah. Tidak ambil berat. Mungkin juga. 

Apa-apa pun semoga  kita semua dapat menjalankan ibadah puasa dengan tenang dan bersemangat. Dan mendapat keberkatan dan kerahmatan. Kalau lah dapat jumpa lailatul qadar, lagi seronok. Subhanallah. 

Friday, 27 June 2014

Di Persimpangan Dilema

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Pernah tak ketika memandu, dan bila berada di simpang T, kita nak masuk ke kanan, belakang kita banyak kereta beratur, nak keluar dari simpang itu pun banyak kereta beratur, kita rasa macam bersalah dan mementingkan diri sendiri bila kita tidak memberi peluang kepada kereta yang nak keluar dari simpang tersebut keluar? 

Memang dari segi undang-undang kita mempunyai lebih hak untuk masuk simpang tu berbanding yang nak keluar, tetapi ada masanya terasa seperti tidak bertimbang rasa pulak. 

Pagi tadi pun begitu lah yang berlaku. Ini kerana saya dah terlambat sedikit untuk menghantar anak ke sekolah. Biasa kalau turun awal-awal pagi, tidak akan melalui situasi sebegini sebab kereta belum banyak. Terlambat 10 minit, ini lah yang harus saya hadapi. Saya sudah arif tentang perkara ini. 

Saya rasa kereta-kereta yang beratur dari simpang itu pun sudah arif tentang perkara ini. Sebab setiap hari pasti akan "jem" di kawasan itu pada waktu itu. Maka, kalau mereka memang ingin mengelak dari beratur panjang untuk keluar simpang, sepatutnya mereka mengubah sedikit jadual mereka, betul tak? 

Namun, macam biasa, saya tidak boleh menghukum, sebab saya tidak tahu apa yang berlaku pada mereka. Cuma yang saya boleh sarankan hanya lah untuk mereka melihat balik dan buat keputusan yang sedikit berbeza. Sebab untuk keluar dari simpang itu, ada 2 pilihan iaitu :
1)  keluar pada waktu yang berbeza - awal sedikit atau lambat dari biasa (yang sudah pastinya akan menyebabkan lambat ke tempat kerja)
2)  lalu jalan lain (alternatif) tetapi agak jauh sedikit dan jalan tak berapa nak elok. Tetapi in sya Allah tak perlu beratur panjang.

Begitu jugalah di dalam kehidupan kita seharian. Kita memang sentiasa ada pilihan. Sama ada kita nak pilih A atau B, atau mungkin juga ada C. Pilihan ada di mana-mana. Tinggal kita aja yang perlu pilih. Kalau sudah pilih A dan rasanya tak kena, apa salahnya pilih B pula. Mana lah tahu hasilnya akan lebih baik. 
Sesungguhnya "nasib kita tidak akan berubah melainkan kita sendiri yang mengubahnya" dan "Melakukan perkara yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza adalah satu perkara yang tidak bijak".

Jadi, apa pilihan anda?

Wednesday, 25 June 2014

Tentang Makanan Kita

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: simpanan peribadi

Tahukah anda:


Sayur-sayuran yang kita makan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu:


1     Yang mengandungi kandungan air yang tinggi dan kandungan gula yang rendah
-           Antara sayur yang berada dalam kumpulan ini adalah:
o   Bayam, salad lettuce, asparagus, timun, kobis, daun saderi, brokoli, cendawan dan bunga kobis
2     Yang mempunyai kandungan air yang rendah dan kandungan gula yang tinggi
-          Sayuran yang di dalam kumpulan ini pula adalah:
o   Carrot, kacang pea, jagung, kentang.

-          Orang kencing manis seeloknya mengurangkan pengambilan sayuran dalam kumpulan ini dan lebihkan dalam kumpulan yang satu lagi.




Minuman Kita.
Perhatikan juga minuman yang kita minum setiap hari selain dari air biasa. Kita sering menganggap jus buah adalah bagus berbanding dengan air lain tetapi sebenarnya jus buah yang diproses seperti yang kita lihat banyak terjual di pasaraya-pasaraya tidaklah sebagus yang kita sangkakan. Kerana ianya telah diproses sedemikian rupa khasiatnya adalah seolah-olah seperti kita minum air biasa yang dicampur dengan gula sahaja. Dengan kata lain, tiada khasiat lansung. Jika kita memang pentingkan kesihatan dan inginkan vitamin tetapi daripada air buah, perah sendiri akan mengekalkan vitamin pada buah tersebut.


Begitu juga dengan sebarang soda yang kita minum, termasuklah diet soda. Ianya adalah seperti minum air yang dicampur dengan 10 sudu gula, belum diambil kira pewarna dan asid fosforik yang diletakkan untuk menghasilkan buih. Terlalu banyak mengambil soda boleh menyebabkan gigi mereput dan meninggikan risiko osteoporosis.

Perihal Minyak Masak

Untuk mengetahui minyak masak yang bagus adalah dengan melihat jenis lemak yang terhasil daripadanya.
Kategori lemak terbahagi kepada 3 iaitu:
1)       Lemak poli tak tepu
2)       Lemak mono tak tepu
3)       Lemak tepu

Kebanyakan minyak masak yang ada dipasaran mengandungi minyak poli tak tepu yang boleh menyebabkan keradangan di dalam badan. Ini berlaku selepas ia bertindakbalas dengan haba dalam badan kita. Inilah punca segala masalah dalaman yang kita alami seperti sakit jantung, diabetes dan sebagainya.

Minyak yang paling bagus setakat ini adalah minyak dengan lemak tepu yang dihasilkan daripada kelapa dan kelapa sawit. Minyak zaitun mengandungi lemak mono tak tepu, maka ia juga boleh dikatakan bagus.

Sentiasa ingat, kita adalah apa yang kita makan. :)

AnggapanMu

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Kita memang mudah membuat tanggapan terhadap orang lain, kan? Mengimbau kembali pengalaman semasa melakukan perniagaan MLM. Di awalannya, saya memang suka membuat tanggapan saya sendiri. Hanya dengan melihat luaran seseorang. 

Contoh: Saya melihat seorang ibu dengan dua orang anak kecil. Pada anggapan saya, jika saya pergi dan menawarkan produk untuk anak-anak tersebut, pasti ibu itu akan teruja. 

Satu lagi contoh: Saya melihat seorang wanita anggun di tempat kerjanya. Saya beranggapan pasti dia tidak memerlukan produk kecantikan yang ingin saya tawarkan.

Tetapi realitinya adalah berbeza. Apa yang saya anggapkan itu meleset sama sekali. Ibu tadi merasakan tidak perlu untuk beliau belikan produk kanak-kanak yang saya tawarkan kerana baginya ia tidak sesuai diberikan pada waktu mereka masih kecil. Dan ibu tersebut tidak ada masa untuk mendengar penjelasan saya mengenai produk tersebut.

Sebaliknya, wanita anggun tadi dengan senang hati mengatakan sudah lama beliau tercari-cari produk kecantikan yang memberikan faedah seperti yang saya terangkan dan bersetuju untuk membeli produk tersebut.

Dari pengalaman seumpama itu (yang saya tempuhi beberapa kali) memberi saya pengajaran bahawa "apa yang kita fikirkan tidak semestinya sama seperti yang difikirkan oleh orang lain". Kita merasakan sebegini dan menganggap orang lain juga akan berfikiran sama seperti kita. Itu tidak benar.

Kita juga suka untuk memikirkan yang kita ini sentiasa betul. Dan jika kita betul pun, kita mahu satu dunia tahu yang kita betul. Walhal, tidak semestinya kita ini selalunya betul. Boleh faham maksud saya? Macam berbelit la pula hehe.

Setiap orang berbeza. Setiap orang mempunyai cara pemikiran mereka sendiri. Kita tidak boleh samakan diri kita dengan orang lain. Walaupun adik beradik. Walaupun saudara mara. 

Saya mengambil persepsi sebegini apabila membaca kisah adik Firdaus yang menggemparkan Malaysia ketika ini. Memang sekali tengok, kita rasa perkara ini tidak patut berlaku. Apa yang menimpa adik Firdaus adalah satu perkara yang tak masuk akal. Saya memang sedih melihat video penemuan adik Firdaus. Mengalir air mata, tak dapat disekat. Saya juga merasa hangat bila mendengar kisah ibu adik Firdaus. Merasakan yang beliau tidak patut melakukan perkara sebegini rupa. Tetapi, "apa yang kita fikirkan tidak semestinya sama seperti yang difikirkan oleh orang lain". Saya tidak mahu menghukum. Hanya Allah sahaja yang tahu duduk perkara yang sebenar. 

Seeloknya kita mengambil iktibar dari kejadian ini. Sebagai seorang ibu, sayangilah anak-anak kita. Sebagai seorang ahli masyarakat, berikan sumbangan. Tidak semestinya kepada adik Firdaus, tetapi kepada kanak-kanak lain yang senasib dengannya. Jadi lebih prihatin. Jangan hanya memaki hamun semata-mata. Mari kita semua doakan agar kehidupan adik Firdaus akan menjadi lebih baik selepas ini. Begitu juga dengan kehidupan ibunya, agar dibuka hati ibunya untuk melihat dan muhasabah diri. Semoga beliau juga akan menjadi lebih baik. Begitu juga saya sendiri. Semoga selepas ini saya juga akan menjadi insan yang lebih baik. Amiiin.  



Sunday, 22 June 2014

Ulasan Kelas Blog Pengurus Online Akademi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, sedar tak sedar entri di blog ini dah pun melebihi 25 entri. Sekejap saja rasanya. Maknanya saya sudah berada di pertengahan tugasan 44 entri yang ditugaskan di dalam kelas sebagai pengurus online akademi.

Saya diperkenalkan kepada blog pada tahun 2005 lagi. Suami saya yang perkenalkannya kepada saya. Dan dari satu blog waktu itu, saya telah membuka sehingga 4 blog untuk mencatat dan berkongsi minat saya. Tetapi, lama-kelamaan blog-blog saya itu menjadi semakin sepi dan bersawang, tidak diupdate. Nak kata saya sibuk, orang lain lebih sibuk dari saya rasanya. Semangat untuk menulis entri hilang entah ke mana. 

Saya tahu blog adalah satu medium yang boleh dikatakan agak kuat pengaruhnya, jika kena pada gayanya. Tetapi itu hanya boleh dicapai sekiranya ada tunjuk ajar yang diberikan. Saya selalu melawat blog-blog yang terkenal sama ada di dalam negeri mahupun yang luar negara. Saya berimpian untuk mempunyai blog seperti itu. Maka saya membuat carian di internet. Dan carian saya membawa saya kepada blog Puan Masayu Ahmad, pengasas Akademi Bekerja di Rumah. Dari blog beliau, saya dihubungkan kepada facebook beliau. Dari situ, saya berkenalan pula dengan guru saya sekarang iaitu Puan Anys Idayu. Melihat kepada penerangan yang diletakkan pada status fbnya membuatkan saya tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelas yang ditawarkan oleh ABDR.

Akhirnya saya mendaftar sebagai salah seorang pengurus online akademi. Apa yang saya suka dengan kelas ini adalah soalan analisa yang diberikan pada permulaan kelas. Sebelum kita melakukan apa-apa, kita perlu menjawab beberapa soalan yang dikatakan akan memberi perisian kepada apa yang akan saya lakukan nanti. 

Dari soalan analisa tersebut, satu lagi saya suka apabila saya diminta mencipta email dan blog dengan nama yang diberikan oleh cikgu. Tidak terlintas difikiran saya yang nama email dan blog boleh memainkan peranan satu hari nanti. Dan saya juga diberi fokus kepada blog yang akan saya bangunkan, siap dengan label tajuk yang patut saya tumpukan. 

Kemudian, senarai tugasan diberikan dan antara tugasan yang perlu dibuat adalah menulis 44 entri di blog. Jika sebelum ini saya tiada semangat untuk update blog, tetapi disebabkan tugasan yang diberi, ditambah pula dengan label tajuk yang diberi berserta fokus blog, saya merasa terpanggil untuk menulis entri baru setiap hari. Dan idea juga datang dengan mudah kerana adanya tajuk label tersebut. Memang mengujakan.

Di dalam kelas ini juga lah saya belajar bagaimana membuat fan page di facebook, yang sebelum ni memang saya tidak tahu langsung bagaimana melakukannya. Begitu juga dengan membuat borang tempahan. Serta tab-tab yang ada pada blog. 

Tidak cukup dengan semua ilmu ini, sokongan yang tinggi juga diberikan oleh semua rakan-rakan di dalam akademi ini bagi memastikan blog ini tidak sunyi. Jika saya ada persoalan yang tiba-tiba datang, saya peroleh jawapannya secara serta-merta, sama ada dari cikgu online saya mahupun dari rakan-rakan akademi.

Akhir sekali, saya juga berpeluang untuk menjana pendapatan sebagai pengurus online akademi di mana produk-produk akademi yang banyak dan pelbagai boleh saya promosikan. Mana nak dapat, ilmu diberi, peluang dapat duit pun diberi sama. 

Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa yang ingin menukarkan statusnya kepada suri rumah yang bekerja di rumah, kelas-kelas yang ditawarkan oleh akademi ini adalah amat sesuai. Tambahan pula, semua kelas diadakan atas talian dan waktu yang fleksibel memang memudahkan para suri. 

Harapan saya agar akademi ini akan menjadi satu akademi yang sangat berpengaruh suatu hari nanti dan para suri rumah atau wanita berkerjaya yang mengimpikan untuk bekerja dari rumah akan dapat memanfaatkan ilmu-ilmu yang ada di dalam akademi ini. Sama-samalah kita doakan. 


Saturday, 21 June 2014

20 makanan untuk kesihatan otak

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah


Pernah dengar tak orang kata "Kita apa yang kita makan?". Makanan memang memainkan peranan penting di dalam kehidupan kita. Kita makan untuk hidup. Ada ke orang hidup untuk makan? Hehe.

Apa yang ingin saya kongsikan kali ini adalah mengenai makanan yang telah dikenalpasti dapat membantu memberi rangsangan kepada otak/minda. Ada 20 semuanya. Jom kita tengok.

1. Avokado
Mudah tak nak cari avokado kat Malaysia ni? Kalau mudah, eloklah. Ia elok dimakan di waktu pagi. Disaingkan dengan telur dadar memang akan menjadi satu sarapan yang baik untuk otak di pagi hari.

2.  Blueberi
Tinggi fiber, rendah indeks glisemiknya, sangat bagus untuk mereka yang ada simptom diabetes. Kajian juga mendedahkan yang ia boleh mengurangkan kebarangkalian untuk mendapat Alzheimer. Elok dimakan begitu sahaja. Tetapi cuba elakkan yang telah dikeringkan.

3.  Ikan Salmon
Memang terkenal dengan Omega-3 yang elok untuk otak. Meningkatkan daya berfikir dan kepekaan, mengurangkan kemurungan dan hyperaktiviti.

4.  Kekacang
Mengandungi protein dan fiber. Banyak vitamin E. Antara kacang yang paling bagus adalah hazelnut, biji gajus, walnut dan almond. Juga elok untuk mereka yang ingin diet. Dulu saya takut nak makan kacang terutama sekali selepas melahirkan anak sebab bidan ada menyatakan ia tidak elok untuk peranakan. Ia mengandungi lemak yang boleh menyebabkan peranakan tidak masuk dengan betul. Tetapi rupanya kacang yang lebih tinggi lemaknya adalah kacang macadamia dan peanut. Yang lain pun ada lemaknya tetapi lebih kepada lemak yang baik (nanti akan diceritakan di entri yang lain).

5. Bijirin
Seperti biji bunga matahari, biji sesame, biji rami. Mengandungi protein dan vitamin E serta antioksidan untuk melawan stress. Sebab itu kalau kita makan kuaci biji matahari tu rasa gembira semacam je kan? Tak boleh berhenti pulak tu hehehe.

6. Kopi
Jangan terkejut. Kopi sebenarnya adalah bagus untuk otak sebab ia mengandungi fiber. Cuma resepinya adalah jangan minum terlampau banyak. Kalau setakat 2 cawan sehari boleh saja. Dan jangan letak gula. Saya pernah lihat orang yang minum kopi 3 in 1 meletakkan gula di dalam kopinya. Yang ini tolong elakkan. 
Kopi yang paling elok adalah espresso.

7.  Oat
Rasanya yang ini tidak perlu saya ulaskan lagi. Ramai sudah tahu khasiat oat. Sarat dengan fiber, protein dan sedikit Omega-3. 

8.  Kacang 
Tadi kekacang. Sekarang kacang pulak. Macam kacang merah, kacang hijau dan seumpamanya. Mengandungi banyak fiber, vitamin, mineral dan protein.

9.  Buah Delima
Ada buah ada jus. Lebih elok yang buah sebab ia lebih banyak fiber berbanding jus. Juga mengandungi antioksidan yang bagus untuk sel-sel badan. Ada orang pesan pada saya semasa saya mengandung dahulu dan kandungan saya mengandungi masalah uri di bawah, supaya saya mengambil buah delima untuk kesihatan bayi dan juga kesihatan diri sendiri. Alhamdulillah, senang pula saya dapat buah delima waktu itu. Dan di saat-saat akhir, uri itu berpusing naik dan saya tidak perlu melahirkan secara pembedahan.

10.  Beras perang.
Orang kita jarang makan beras perang ni kan? Saya sendiri pun tidak tahu sebarang resepi yang menggunakan beras perang. Tetapi mungkin kita boleh mencubanya sekali sekala. 

11.  Teh
Elok diminum panas untuk mendapatkan antioksidannya. Bila dah sejuk kurang sedikit khasiatnya. Juga tidak digalakkan minum banyak seperti kopi. 2-3 cawan sehari mencukupi. 

12. Coklat
Cadbury? Jangan marah aa. Coklat sebenarnya banyak antioksidan dan merangsang hormon serotonin yang menyebabkan kita rasa gembira semacam. Untuk lebih fiber, dark chocolate adalah pilihan yang baik. 

13.  Tiram
Kaya dengan selenium, magnesium, protein dan seumpamanya yang sangat elok untuk kesihatan otak. 

14.  Minyak Zaitun
Ini makanan sunnah kan? Sudah diketahui ia elok untuk radang perut. Sekarang ia juga adalah elok untuk kesihatan otak. 

15.  Ikan tuna
Satu lagi sumber Omega-3 dan juga vitamin B6 (untuk otak dan daya ingatan). 

16.  Bawang putih
Hari tu saya sudah terangkan kelebihan bawang putih. Ia juga tersenarai sebagai salah satu makanan yang elok untuk kesihatan otak.

17.  Telur
Mengandungi protein dan lemak untuk memberi tenaga kepada minda kita. Seeloknya pilihlah telur yang organik.

18.  Sayuran hijau
Ambillah setiap hari. Mengandungi zat besi yang boleh menghilangkan rasa penat, "blur", "blank" dan sebagainya.

19.  Tomato
Saya juga sudah menerangkan kelebihan tomato. Dan cara memakannya. Ia lebih elok jika ia diproses iaitu dijadikan sos (tanpa gula) atau jus.

20. Coklat/Koko
Yang dicincang dan tidak diproses. Seperti serbuk koko yang kita gunakan untuk buat kek. 

Demikianlah 20 jenis makanan yang elok dimakan untuk kesihatan minda/otak. Dan saya rasa semua juga tahu yang ianya baik untuk kesihatan tubuh badan juga, bukan setakat otak. Mudah-mudahan dengan mengamalkan pemakanan sebegini, kita dapat mengelak daripada nyanyuk dan lupa. Wallahuallam.





Friday, 20 June 2014

Bagi Anak, Kasih Sayang Ejaannya adalah M.A.S.A


Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Di dalam bilik stor (loteng)

Kelihatan seorang lelaki tua sedang berjalan terbongkok-bongkok di atas loteng rumahnya yang telah dijadikan bilik stor menyimpan barang-barang lama. Isteri beliau telah lama meninggal dunia dan anak-anak beliau sudah pun berkeluarga. 

Di dalam bilik stor tersebut, dia membelek-belek barangan yang ada. Dia terlihat satu kotak yang dipenuhi dengan album dan buku. Dia menarik keluar satu album, melihat gambar isterinya dan juga anak-anaknya yang ketika itu masih lagi kecil. Dia ketawa seorang diri melihat gambar-gambar tersebut. Teringat dia dengan peristiwa yang berlaku di dalam setiap gambar itu. 

Dia membelek-belek lagi barangan di dalam kotak tersebut dan ternampak satu jurnal yang ditulis oleh anak sulungnya. Dia tidak tahu pula anaknya ada menulis jurnal. Dia lantas membuka jurnal tersebut dan membaca satu persatu apa yang ditulis anaknya. 

Membaca jurnal itu, dia merasakan pandangannya dan pandangan anaknya adalah berbeza sama sekali. Banyak juga peristiwa yang ditulis oleh anaknya tidak diingatinya. Mungkin kerana dia tidak ada bersama ketika itu. Ya, dulu dia seorang yang agak sibuk dengan kerjaya. Dia hanya sempat bersama dengan anaknya sekejap sekejap sahaja. Sebab itu lah dia tidak sempat melihat perkembangan tumbesaran anak-anaknya. Bila disedari, anak-anak sudah pun dewasa.

Dia teringat akan jurnalnya sendiri yang disimpan di dalam biliknya. Dengan perlahan-lahan dan berhati-hati takut terhantuk siling bilik stor yang rendah itu, dia keluar dari situ menuju ke biliknya. Diambil jurnalnya yang disimpan sekian lama. Sangat berbeza rupa jurnalnya berbanding jurnal anaknya. Jurnalnya berkulit tebal dan mempunyai tulisan yang berwarna keemasan. Manakala jurnal anaknya hanyalah seperti buku tulis sekolah.

Dia meletakkan jurnalnya dan jurnal anaknya itu sebelah menyebelah. Dia terlihat satu entri yang ditulis pada tarikh yang sama. Apa yang ditulis oleh nya adalah "Sungguh membuang masa. Satu hari bersama anak sulung pergi memancing. Tidak dapat apa-apa hasil". Dia melihat pula apa yang ditulis oleh anaknya "Pergi memancing bersama ayah. Hari yang paling menyeronokkan seumur hidupku". Dia menangis terisak-isak.

Kata orang, bagi budak-budak, kasih sayang itu ejaannya adalah M.A.S.A.

Sudah cukupkah masa kita bersama anak-anak kita? Berkualitikah masa yang kita luangkan bersama mereka? Waktu anak membesar hanya sekali. Jika terlepas, tidak dapat ditarik kembali. Renungkanlah.




Thursday, 19 June 2014

Ulasan Ebook - Asas Blog Penulisan


Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: Akademi Bekerja di Rumah





Alhamdulillah, akhirnya betul-betul khatam ebook ni. Dua kali saya baca. Untuk betul-betul fahamkan. Seronok membacanya kerana banyak tips yang diberikan. Terutama sekali tips penulisan. Begitu juga tips bagaimana menjadikan blog kita satu blog yang berpengaruh dan disukai orang untuk membacanya. 

Di dalam buku ini juga ada menyatakan mengenai idea untuk menulis. Memang benar seperti yang ditulis, ada masanya kita buntu dan tidak mempunyai idea untuk menulis di blog. Apatah lagi ingin menulis setiap hari. 

Pengalaman sendiri. Saya dahulu mempunyai tiga blog yang berasingan, dibina berdasarkan minat dan juga pengalaman yang saya ada. Di awalannya setiap hari saya menulis di ketiga-tiga blog tersebut. Tetapi lama-kelamaan, saya keputusan idea. Di tambah pula dengan kesibukan dengan tugas harian menyebabkan semakin lama blog saya itu semakin ditinggalkan. 

Di dalam ebook ini ada berkongsi cara bagaimana untuk kita sentiasa mempunyai idea untuk menulis. Yang penting adalah baca, tulis, baca, tulis. Dengan ini semakin hari idea kita makin bertambah. 

Saya juga suka membaca mengenai tips penulisan. Dari segi nahu bahasa, penggunaan tanda bacaan dan juga struktur tulisan. Setiap kali ingin menulis perlu ada rangka terlebih dahulu, barulah penulisan menjadi lancar dan tersusun.

Sesungguhnya, ebook ini memang sesuai untuk mereka yang ingin berjinak-jinak dengan blog dan penulisan. 

_______________________________________________________________________

Tips asas blog, meninggalkan nama kita pada jejak google dan memudahkan carian pelanggan.
Pelanggan suka beli melalui usahawan online yang dikenali, ini sangat penting bagi suri yang sangat baru dan baru membina tapak untuk jualan online.


Analisa asas sebelum memulakan create blog, mula dengan penjenamaan email
Tips jejak google

1. Nama kita sebagai penjenamaan 
2. Email juga penjenamaan 
3. Blog

Tiga perkara di atas sangat penting membina tapak kita dalam carian google
sekarang letak nama masing-masing, sudah timbul atau belum

Jangan letak nama pelik-pelik, nama kitalah yang perlu kita jenamakan dan pasak dalam carian google

Perkara pertama sebelum create blog, daftar dahulu email berdasarkan nama sendiri mengikut ic.

Boleh daftar mana-mana kelas berikut.
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog, fanpage mula bisnes
3. Kelas beriklan mudah.my
4. Kelas penulisan ebook pertama
5. Kelas penulisan kreatif
6. Kelas telekung solat borong dan runcit
7. Kelas asas wordpress
8. Kelas mula bisnes makanan sunnah
9. Kelas mula bisnes projek raya
10. Kelas akaun online/offline
11. Tempahan blog bisnes 5 hari siap
12. Beriklan dengan kami di pautan 750 blog
13. Pendaftaran pengurus online/rakan niaga Akademi Bekerja Di Rumah.
Keterangan lanjut ada di sini http://akademibekerjadirumah.blogspot.com/

Bagi kalian yang sudah sedia untuk bermula, boleh daftar dan pm. Kami bersedia membantu 




Sebuah Tingkap




Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Dua orang lelaki, kedua-duanya sakit yang sudah tenat, berada di dalam sebuah wad yang sama. Seorang darinya dibenarkan duduk selama sejam untuk mengeluarkan cairan dari paru-parunya dan katilnya adalah bersebelahan dengan satu-satunya tingkap yang ada di dalam wad tersebut. Yang seorang lagi memang hanya terlantar di katilnya.

Mereka berdua menghabiskan masa di wad dengan bercerita mengenai diri masing-masing. Pelbagai cerita yang mereka kongsi. Dan setiap petang, apabila lelaki yang katilnya di sebelah tingkap itu dibenarkan bangun untuk prosidur yang perlu dilakukan, lelaki itu akan bercerita kepada lelaki seorang lagi tentang apa yang dapat dilihatnya di luar tingkap tersebut. 

Lelaki yang terlantar itu sentiasa ternanti-nanti waktu petang yang sejam itu. Setiap hari dia akan dibawa bersama-sama dengan lelaki yang bercerita itu membayangkan betapa indahnya suasana di luar sana. Katanya, wad yang mereka duduki itu adalah bersebelahan dengan satu tasik. Satu petang dia mengatakan dia melihat satu pasangan yang berjalan-jalan berpegangan tangan di tepi tasik tersebut. Di petang yang lain, dia menceritakan yang sekawan angsa berterbangan dan bermain-main di dalam tasik tersebut. Cuaca petang sewaktu dia bercerita itu sentiasa indah dan nyaman. Kanak-kanak pula bermain bot mainan di tasik tersebut. Pelbagai pemandangan yang indah diceritakan dan sewaktu dia bercerita, lelaki yang seorang lagi itu akan menutup matanya dan membayangkan suasana yang diceritakan. Sungguh nyaman dan menggembirakan.

Pada satu ketika, lelaki itu ada mengatakan yang satu perarakan sedang berlaku. Walaupun lelaki terlantar itu tidak dapat mendengar apa-apa pun tetapi dia tetap dapat membayangkan betapa meriahnya perarakan tersebut. Semakin dia mendengar cerita lelaki itu, semakin dia merasa gembira. Namun, di sebalik kegembiraanya itu, terselit pula satu perasaan cemburu. Dia merasa tidak adil baginya kerana dia tidak dapat melihat semua yang diceritakan itu. Sedikit demi sedikit perasaan itu semakin menebal. 

Pada suatu malam, lelaki yang bercerita itu tiba-tiba mendapat batuk yang sangat teruk. Dia terbatuk tanpa henti.Terkial-kial dia cuba menekan butang untuk memanggil misi. Lelaki yang disebelahnya itu hanya melihat sahaja. Tidak terlintas di hatinya untuk menekan butang di katilnya. Akhirnya, lelaki di katil sebelahnya itu berhenti dari batuk dan suasana menjadi senyap. Senyap dan sunyi. 

Esoknya, apabila misi datang membawa air mandian kedua-duanya, di dapati lelaki tadi sudah pun tidak bernyawa lagi. Dengan perasaan sedih, misi tadi meminta rakan-rakannya membawa mayat lelaki itu pergi. 

Dengan tiadanya lelaki tadi di tepi tingkap itu, lelaki yang terlantar itu meminta dengan misi untuk dipindahkan ke tepi tingkap tersebut. Misi bersetuju dan membantu lelaki tersebut berpindah ke situ. Dengan rasa terujanya, lelaki tadi cuba mengangkat kepalanya untuk melihat ke luar tingkap tadi. Apa yang dilihatnya adalah --- hanya satu dinding yang kosong.

Pengajarannya:
Orang yang positif dapat melihat keindahan dan dapat mencipta kegembiraan. Dan keindahan dan kegembiraan itu dapat dijangkitkan kepada orang lain juga. 
Orang negatif tidak akan pernah berpuas hati dengan apa yang dia ada. 


Wednesday, 18 June 2014

3 Ramuan Mencegah Kanser

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: Simpanan Peribadi


Kebelakangan ini dapat banyak berita kematian dari kawan-kawan dan saudara yang berkaitan dengan penyakit barah atau kanser. Memang kanser adalah salah satu penyakit yang digeruni. Perlu diketahui yang tiada ubat spesifik yang boleh diambil untuk mengubati kanser. Ada orang yang boleh diubati hanya dengan memakan ubat yang tertentu, ada pula yang kena melalui proses kemoterapi. Ada yang berjaya dipulihkan, ada pula yang tidak. Cara terbaik untuk menangani kanser hanyalah dengan mencegah sel kanser daripada membiak. Antioksidan boleh mencegah pembiakan sel kanser. Banyak ramuan yang mengandungi antioksidan yang boleh kita ambil. Antaranya:

1)   Bawang Putih

Mengikut kajian, bawang putih mengandungi jisim antibakteria yang baik untuk sakit mulut, perut, kulit, hati dan bermacam lagi. Ia juga elok untuk luka-luka kecil dan membantu menguatkan sel darah untuk menghalang pertumbuhan sel-sel kanser.

Cara paling baik untuk mengambil bawang putih adalah secara mentah. Ada orang yang buat jeruk bawang putih dan dimakan begitu sahaja.

Jika ingin memasak menggunakan bawang putih, seeloknya selepas megupas bawang putih tersebut, cuba biarkan ia terlebih dahulu selama 3-5 minit sebelum dimasak. Ini kerana tindakbalas bawang putih dengan oksigen akan meningkatkan khasiatnya.

2)  Tomato

Tomato mengandungi karotenoid yang dikenalpasti amat bagus untuk menghalang kanser prostate. Sebab itu tomato amat baik untuk orang lelaki.  

Tomato dikatakan lebih memberi manfaat apabila ia diproses i.e. dijadikan sos atau jus. 

Cuma satu sahaja, petua dari Chef Wan mengatakan, jika kita menggunakan sos tomato di dalam masakan, pastikan kita masukkan sedikit gula untuk neutralkan keasidannya. 








3)  Teh Hijau

Dikatakan teh hijau elok untuk mencegah kanser prostate dan usus. Juga untuk perut. Terutamanya yang sentiasa mengalami sakit gastrik. Dengan meminum teh hijau, sakit gastrik yang kronik boleh dikurangkan. Ini telah pun disahkan dari kajian yang dijalankan.

Antara banyak teh, teh hijau telah dikenalpasti mempunyai caffeine yang paling rendah. Ianya memang elok diminum begitu sahaja. Tetapi, bagi mereka yang tidak begitu gemarkan teh, sekarang ini ada juga pil yang mengandungi ekstrak teh hijau. 





Itu adalah antara bahan semulajadi yang boleh kita ambil untuk membuat pencegahan terhadap penyakit kanser. Meskipun kita tahu, jika penyakit itu nak datang, ia tetap akan datang. Namun, tidak salah untuk kita berikhtiar membuat pencegahan setelah mengetahui khasiat yang ada. Sesungguhnya semua penyakit, semua penyembuhan sudah semestinya dengan izin Allah SWT. Wallahuallam.




Monday, 16 June 2014

Kelemahan dan Kekuatan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Anda ada kelemahan?
Bagaimana dengan kelebihan?
Orang positif kata, tukarkan kelemahan menjadi kelebihan. Boleh ke? Mari kita baca kisah ini.

Benjamin seorang pemuda yang kurang bernasib baik. Mengalami kemalangan yang telah menyebabkan tangan kirinya terpaksa dipotong. Meskipun hanya mempunyai sebelah tangan, beliau tetap ingin mempelajari sukan pertahankan diri, Judo.

Sensei judo setelah melihat keadaan Benjamin, telah mengajarnya satu teknik yang agak sukar. Benjamin berlatih tanpa jemu sehingga beliau mahir dengan teknik tersebut. Namun, dia hairan kenapa hanya teknik itu yang diajar oleh sensei nya. Beliau bertanya "Sensei, bilakah masa saya akan belajar teknik yang lain pula?". Sensei beliau menjawab "Mahirkan betul-betul teknik yang diajar ini. Kamu hanya perlu tahu teknik ini sahaja dan tidak perlukan teknik yang lain". Meskipun Benjamin tidak begitu memahami apa yang dimaksudkan oleh sensei beliau, beliau tetap berlatih sehingga beliau betul-betul mahir dan senseinya berpuas hati.

Tiba masa untuk praktikkan apa yang dipelajarinya. Salah satu cara untuk mempraktikkannya adalah melalui pertandingan. Benjamin mendaftar masuk Pertandingan Judo Antarabangsa yang diadakan di kawasan bandarnya. 

Pada perlawanan pertama, lawan Benjamin merupakan seorang pemuda yang hampir sebaya dengannya dan mempunyai susuk tubuh yang lebih kurang sama. Benjamin banyak bertahan daripada serangan yang diberi lawannya sehingga suatu ketika beliau menggunakan teknik yang beliau mahir tersebut. Lawannya terus tewas.

Begitulah perlawanan demi perlawanan, Benjamin bertahan dan apabila menggunakan tekniknya, beliau berjaya menumpaskan lawannya, sehinggalah beliau berjaya memasuki pusingan semi final. 

Lawan beliau di pusingan semi final ini agak besar orangnya dan lebih tinggi berbanding Benjamin. Serangan demi serangan diberikan oleh lawan beliau. Sehinggakan Benjamin merasa sedikit kepenatan menahan serangan-serangan tersebut. Senseinya terus menyuruh Benjamin menggunakan teknik yang satu itu dan Benjamin terus memenangi pusingan tersebut. Beliau berjaya ke pusingan final.

Di pusingan final, lawan beliau bukan calang-calang orang. Juara bertahan selama 5 tahun berturut-turut. Beliau berlawan sesungguh hati, hampir saja beliau mengalah kerana lawannya memang sangat hebat. Namun, setelah teknik itu beliau gunakan di saat kritikal, akhirnya mantan juara itu terpaksa mengaku kalah. Benjamin menjadi juara baru Pertandingan Judo Antarabangsa tersebut.

Di dalam perjalanan pulang, Benjamin tidak dapat tahan lagi. Beliau ingin sangat mengetahui bagaimana beliau dapat menewaskan kesemua lawan beliau dengan hanya satu teknik itu sahaja. Beliau bertanyakan sensei beliau. Jawapan sensei beliau adalah "Teknik yang kamu pelajari itu adalah satu-satunya teknik yang paling sukar di dalam judo. Dan teknik itu tugasnya adalah mengunci pergerakan pihak lawan. Untuk keluar dari kunci tersebut, pihak lawan harus menarik tangan kiri kamu"

Begitulah kisahnya. Bagi orang yang bijaksana, kelemahan seseorang boleh dijadikan kekuatan. Begitu juga kita, seandainya terasa diri punyai kelemahan, cuba fikirkan bagaimanakah ianya boleh ditukar menjadi kekuatan seterusnya membantu diri kita untuk mencapai kejayaan. Kita pasti BOLEH!

Sunday, 15 June 2014

Mengapa Taska Tidak Lagi Menjadi Pilihan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah


Alhamdulillah, sekarang keluarga saya dah lengkap dah. Dua orang anak yang balik kampung hari tu dah pun balik ke rumah kembali. Esok dah nak mula sekolah balik. Dan rutin ibu nya ni akan kembali bertambah kecoh untuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah. Malamnya kena pastikan baju sekolah sedia ada untuk esoknya hehehe. Walaupun nampak macam kecoh je, tapi sekurang-kurangnya tidak sekecoh semasa terpaksa menghantar mereka ke taska dahulu. 

Sewaktu saya masih bekerja dahulu, memang saya ada pembantu rumah. Dan syukur, pembantu rumah tersebut bekerja dengan saya selama 5 tahun, lebih dari kontrak yang diberikan. Namun, apabila saya baru melahirkan anak ke 6, kontrak beliau sudah tidak boleh disambung lagi. Maka, terpaksalah beliau balik. Waktu itu, susah nak dapatkan pembantu rumah yang baru. Jadi, terpaksalah hantar anak-anak ke taska. Alhamdulillah, transit di tempat anak sulung dan nombor 2 duduk untuk mereka transit dari sekolah rendah ke sekolah agama turut menyediakan khidmat menjaga budak-budak. Jadi semua anak saya diletakkan di sana. Memang malam sebelumnya akan jadi kecoh. Mesin baju untuk pastikan baju sekolah ada untuk lusa, terus jemur baju dalam rumah sebab tak nak baju basah jika hujan besoknya. Kemas baju 4 orang anak yang nak ke taska. Gosok baju untuk saya ke tempat kerja. Setiap hari begitulah kecuali hari minggu. 

Situasi ini mungkin akan berlarutan lama jika tidak terjadi suatu peristiwa kepada anak no 6 saya (waktu tu dia masih bongsu, baru 6 bulan). Peristiwa tu berlaku ketika saya tengah mengajar. Di dalam kelas semestinya saya tidak membawa telefon bimbit. Jadi bila taska dan suami telefon, saya tidak tahu. Tiba-tiba saya nampak suami saya menjengok kelas tempat saya mengajar. Terkejut besar saya. Pergi jumpa dia, dia beritahu anak bongsu saya baru balik klinik, pengasuh taska telefon. Rupanya dia pengsan tidak sedarkan diri, tak boleh bernafas, muka dah jadi biru. Pengasuh hantar ke klinik, doktor buat macamana akhirnya dapat bernafas dan sedar dari pengsan. Tetapi doktor minta dia dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut. Kerana dia didapati tidak bernafas selama beberapa minit, doktor takut dia ada masalah dengan otaknya.

Tak terkata saya masa dapat berita tersebut. Terus beritahu anak murid yang saya emergency terpaksa balik, mereka diminta buat kerja sendiri. Saya beritahu supervisor dan terus pergi ke taska untuk ambil anak saya dan bawa dia ke Hospital Serdang, bahagian kecemasan. Agak terkilan juga semasa di Hospital Serdang, sebab walaupun kecemasan tetapi servisnya tetap lambat. Menunggu sekian lama untuk anak diperiksa, walaupun anak saya tu dah sedar dan boleh bergurau, tetapi tetap rasa risau. 

Setelah sekian lama menunggu, barulah dapat peluang berjumpa doktor. Bila doktor mendengar penjelasan tentang keadaan anak saya, dia membuat pemeriksaan lanjutan dan seterusnya mengatakan yang dia harus dimasukkan ke dalam wad untuk pemerhatian selama sehari. Jika semua vitals ok, esok boleh keluar. Ini adalah kerana jika oksigen tidak masuk ke otak untuk sekian lama, walaupun beberapa minit, mungkin boleh berlaku komplikasi. Jadi perlu pemerhatian. Nak luruh jantung rasanya masa tu.

Maka, saya pun tinggal di wad dengan anak malam tu. Yang lain-lain semua ayah dia yang jaga. Dan esok memang minta emergency leave walaupun bos tak suka. Ya lah, kelas saya nanti dia kena cari pengganti. Tapi nak buat macamana, memang emergency. 

Esoknya, setelah diperiksa semuanya, alhamdulillah anak saya dikatakan tiada apa-apa masalah. Semua OK dan kami boleh pulang. Lega rasanya. Tetapi sejak dari itu, terus bertungkus-lumus mencari pembantu rumah dan akhirnya dapat. Selepas ini, saya bertekad, walau apa jadi saya tidak akan hantar anak-anak ke taska lagi. Walaupun memang mungkin bukan salah penjaga taska yang menjaga anak saya masa tu, cuma perkara tu boleh berlaku bila-bila. Punca anak saya pengsan tak boleh bernafas tu adalah sebab terlekat makanan. Mungkin makanan yang disuap terlampau besar atau terlampau banyak. Itu yang menyebabkan saya rasa cuak sedikit. Penjaga tu dah pun minta maaf sangat-sangat. Tapi ya lah kan, sekali terjadi, saya rasa serik. 

Itulah juga antara sebab mengapa apabila pembantu rumah yang kedua ni berhenti, saya tidak lagi menghantar anak ke taska. Saya tekad jaga sendiri. Berhenti kerja dan duduk rumah jaga anak. Lagipun sekarang 3 orang anak saya dah pun besar, boleh juga jaga adik-adik mereka yang lebih kecil. Dan memang sampai bila-bila selagi kudrat ada, saya tidak akan benarkan juga anak-anak saya menghantar anak-anak mereka ke taska, in sya Allah.


Friday, 13 June 2014

Sewa Kereta dan Peluang Kerja

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

In sya Allah, jika tiada apa aral malam ini kami satu keluarga akan bertolak balik kampung. Tujuannya untuk menjemput 2 orang anak saya yang balik kampung bersama-sama dengan keluarga saudara saya yang datang rumah hari tu. 

Memandangkan keluarga kami ni besar, kami mencari kereta MPV untuk disewa selama sehari. Malangnya, semua agensi kereta sewa yang berada di Bangi dan sekitarnya menyatakan semua MPV sudah habis disewakan. Wah, musim cuti sekolah macam ni perniagaan sewa kereta memang menguntungkan, kan? Begitu juga bila tiba musim raya. 

Teringat pulak suatu ketika dahulu adik dan abang ipar saya ada membuat khidmat sewa kereta ni di kawasan kampung di Kemaman. Pada mulanya agak sangsi jugak sama ada ada pasaran atau tidak sebab itu kawasan kampung. Dan kereta yang ada pun sebiji sahaja. Tetapi memang tidak disangka-sangka, permintaannya agak tinggi. Sehingga ada masa nya penyewa bersilih ganti. Seorang hantar dah ada yang beratur untuk menyewa. Lama-kelamaan adik ipar saya tidak boleh bertahan kerana tidak sempat nak memastikan kereta di dalam keadaan yang baik sewaktu disewakan. Akhirnya kereta tersebut menjadi rosak teruk dan memakan belanja yang besar untuk dibaiki. 

Begitulah kan? Di Malaysia ni memang banyak cabang bisnes yang boleh kita lakukan. Tinggal nak dengan tak nak sahaja. Jadi kalau ada yang tiba-tiba datang rumah meminta-minta (bukan minta derma tetapi minta sedekah) sedangkan badan sihat, anggota sempurna, kita terasa semacam juga untuk memberi. Kalau tak beri pun serba salah juga. Tetapi selalunya kalau ini yang berlaku, pasti saya akan rasa cuak untuk memberi dengan banyak (alah...banyak pun tak de la sampai ribu riban hehe.)

Untuk itu, sebelum kita kata "Tak ada kerja", "Susah nak dapat kerja", "Nak berniaga pun susah" lihat balik diri kita. Kita cacatkah? Kita tak boleh berfikirkah? Kalau tidak, jangan komplen. Fikir dan usaha. In sya Allah, Allah akan membantu sesiapa yang berusaha ke arah kebaikan. Hanya yakin sahaja. Wallahuallam.