Saturday, 31 May 2014

Pengajaran dari Kisah Arnab dan Kura-kura (versi terlebih)



Teks: wanrohaniah wanabdullah
Gambar: Carian google


Melihat kepada post di facebook dan juga perkongsian rakan-rakan di alam maya mengenai nasib kaum Melayu, terpanggil pula rasanya untuk berkongsi cerita mengenai kura-kura dan arnab. 

Kita sudah biasa mendengar versi di mana kura-kura akhirnya menang perlumbaannya dengan arnab kerana arnab telah tertidur. 
Pengajaran yang diperolehi dari cerita tersebut adalah: jangan terlalu selesa (arnab) dan "slow and steady win the race" (kura-kura).

Tetapi, di zaman moden sekarang ini, cerita tersebut telah disambung lagi. Kali ini, apa yang berlaku, si arnab tidak berpuas hati dengan kekalahannya kerana dia tahu dia boleh menang jika dia tidak tertidur. Dia meneliti apa yang salah pada dirinya dan mengaku bahawa beliau terlampau yakin dengan dirinya sendiri dan merendahkan keupayaan si kura-kura. Kerana terlampau yakin itu, dia telah leka. Dengan tekad yang baru, dia sekali lagi mengajak kura-kura berlumba, di trek yang sama. Kura-kura bersetuju dan di hari perlumbaan, mengingati akan kesilapannya sebelum ini, si arnab tidak lagi leka tetapi terus memecut sehingga ke garisan penamat. Arnab memenangi perlumbaan itu. 
Pengajaran di sini: Meskipun "slow and steady wins the race" tetapi jika ada mereka yang lebih cepat dan boleh diharap sudah semestinya yang itu akan menjadi pilihan. 

Cerita ini tidak berhenti di sini. Kali ini, si kura-kura pula merasa tidak puas hati. Dia berfikir dan merangka strategi. Dan dia tahu bagaimana untuk melawan si arnab. Lalu, dia mengajak si arnab untuk berlumba kali ke tiga tetapi kali ini mengikut trek yang dia pilih. Si arnab bersetuju. Di hari perlumbaan, si arnab terus memecut tetapi sesampainya si arnab pada jarak 500 meter lagi untuk garisan penamat, terdapat satu sungai yang memisahkannya.  Sedang dia berfikir-fikir bagaimana untuk menyeberangi sungai tersebut, si kura-kura sampai dan berenang menyeberangi sungai dan tiba ke garisan penamat. Kali ini, si kura-kura menang.
Pengajarannya: Jika kita tahu kita tidak cekap, kenal pasti apa kelebihan kita dan fokus kepada kelebihan tersebut.

Belum habis lagi hehe. Kali ini si arnab merasakan yang masing-masing mempunyai kelebihan sendiri. Jadi apa kata kalau mereka bergabung untuk memenangi perlumbaan tersebut. Dia pergi berbincang dengan si kura-kura dan masing-masing bersetuju. Di hari perlumbaan, si arnab mendokong si kura-kura dan berlari dengan laju sehinggalah sampai ke sungai tadi. Dari situ, si kura-kura pula mendokong si arnab untuk menyeberangi sungai. Setelah sampai di seberang sana, si arnab sekali lagi mendokong si kura-kura untuk sampai ke garisan penamat. Masing-masing merasa gembira dan akhirnya menjadi sahabat yang baik.
Pengajarannya:  Memandangkan masing-masing adalah unik di dalam kehebatan masing-masing, tidak salah untuk berganding bahu demi mencapai matlamat yang sama. Lagipun, di dalam dunia ini kita tidak boleh hidup berseorangan. Tak dapat tidak kita saling memerlukan. 

Satu lagi yang boleh dipelajari adalah:  si kura-kura dan si arnab keduanya tidak cuba bersaing dengan individu atau boleh dikatakan musuh, tetapi mereka bersaing dengan keadaan. Fokus mereka adalah bagaimana untuk merubah keadaan berdasarkan kelebihan mereka. Maka dengan ini tiadalah istilah tikam dari belakang atau cuba menjatuhkan antara satu sama lain kerana yang bermasalah adalah keadaan, bukannya pihak lawan.

Begitulah juga hendaknya kita pelbagai kaum di Malaysia ini. Jika kita bertindak seperti si kura-kura dan si arnab, tidak mustahil Malaysia akan menjadi lebih maju lebih cepat. Wallahuallam.

Friday, 30 May 2014

8 cara mengekalkan kulit sihat, cantik dan berseri

Teks: wanrohaniah wanabdullah
Gambar: carian google



Cantik. Satu perkara yang subjektif. Bergantung kepada yang melihat. Apa definisi cantik bagi anda? Apa yang saya ingin kongsikan hari ini adalah bukan bagaimana ingin menjadi cantik laksana bidadari. Kalau muka kita dah memang macam tu, tidak boleh diubah menjadi orang lain. Bagi diri saya pula, setiap orang itu mempunyai kecantikannya yang tersendiri. Bak kata satu pepatah Inggeris "There's no ugly women, only lazy ones". 

Perkongsian yang ingin saya coretkan di sini adalah bagaimana mengekalkan kulit yang sihat, cantik dan berseri. Jom.

1)  Elakkan dari memakai mekap yang berlebihan. Ala kadar sahaja mencukupi. Kita bukan pelakon opera. Jika ingin bermekap cukup untuk menutup pucat di muka. Sentiasa pastikan sebelum tidur muka kita bersih dari mekap. 

2) Sentiasalah menggunakan "sunscreen" untuk melindungi kulit dari sinar UV. Jangan sangka cuaca mendung tiada sinar UV. Seeloknya gunalah krim muka yang mengandungi SPF. Masa yang sesuai untuk memakai krim adalah selepas kita mandi kerana ia akan mengekalkan kelembapan kulit kita. Begitu juga dengan lip balm.

3)  Basuh muka dengan air suam dan pencuci wajah yang lembut sekurang-kurangnya sekali sehari. Jangan terlebih gosok atau sental muka ketika mencuci terutama sekali jika menggunakan "scrub". Ini akan menyebabkan kulit muka mengeluarkan minyak. Urut perlahan-lahan sahaja sudah mencukupi.

4) Minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Jangan kurang, lebih tak apa. Selain elok untuk kelembapan kulit, ia juga boleh membantu menyahkan toksin dalam badan.

5) Dapatkan tidur yang secukupnya. Ini bergantung kepada fisiologi badan masing-masing. Tidak ada petua untuk tidur yang cukup sebab ada orang tidurnya lama tetapi tetap tidak segar apabila bangun. Ada pula yang tidur sedikit sahaja tetapi tetap bertenaga di siang harinya. Semua ini bergantung kepada kualiti tidur dan bukannya kuantiti. Mungkin saya akan kupas lagi mengenai tidur di entri-entri yang akan datang.

6) Pemakanan yang sihat dan seimbang adalah penting. Buah-buahan dan sayur-sayuran segar membantu menyerikan lagi kulit. 

7)  Senaman juga perlu. Tidak perlu ke gymnasium. Cukup untuk melancarkan perjalanan darah seperti berjalan, naik turun tangga dan seumpamanya.

8) Yang ini boleh dicuba. Campurkan 1/4 susu  dan 2 sudu makan gula. Sapukan pada muka dan leher dan biarkan selama 15 minit, kemudian basuh. 
Atau
Campurkan satu sudu makan oatmeal bersama dengan sedikit gula dan serbuk kunyit (jangan terlebih kunyit). Urut pada muka, biarkan 2,3 minit kemudian basuh. 

Kesemua tips ini adalah yang mudah dilakukan dan tidak memerlukan kita ke salun. Sesuai untuk mereka yang sibuk juga. Selamat mencuba!



















Thursday, 29 May 2014

Ulasan - Orang Berjaya vs Orang Gagal (Bahagian 2)

Teks: wanrohaniah wanabdullah

Mari kita sambung dengan perbezaan antara orang berjaya dengan orang yang gagal.

9) Orang berjaya sentiasa ingin belajar. 
Orang gagal merasakan dia sudah tahu segalanya.
Nota: Seperti yang saya tulis dalam deskripsi blog ini, belajar adalah seumur hidup. Kita boleh belajar dengan apa sahaja hatta seekor semut pun jika kita ingin mempelajarinya.

10) Orang berjaya menyimpan atau ada senarai "to do"
Orang gagal selalu di dalam keadaan "fire fighting".
Nota: Jika kita ada senarai "to do", hidup kita akan lebih teratur kerana kita sudah tahu apa yang ingin kita buat pada hari itu. Seperti Puan Masayu katakan, buat rutin 20 perkara seharian yang akan kita lakukan. Jika tidak, berlakulah keadaan seperti "fire fighting" iaitu hanya akan bertindak apabila ada api yang perlu dipadamkan.

11) Orang berjaya tidak takut pada perubahan.
Orang gagal tidak mahu berubah. 
Nota: Takut untuk mengambil risiko melakukan perubahan kerana takut gagal kononnya. Tetapi kegagalan sebenar adalah apabila kita tidak mencuba.

12) Orang berjaya sentiasa riang dan gembira walaupun ada masalah.
Orang gagal asyik nak marah, panas baran.

13) Orang berjaya sentiasa berkongsi maklumat dan data.
Orang gagal takut maklumat yang dikongsi akan menyebabkan orang lain akan lebih maju.

14) Orang berjaya bercakap mengenai idea.
Orang gagal bercakap mengenai orang lain.
Nota: Saya sangat suka dengan kenyataan yang ini hehe 

15) Orang berjaya membaca setiap hari.
Orang gagal tengok TV setiap hari.
Nota:  Kalau dua dua kita buat? Hehe...membaca pun ya tengok TV pun ya...

16)  Orang berjaya mengakui kejayaan orang lain dan memberi kredit kepada mereka yang melakukan kerja.
Orang gagal sentiasa mengatakan kejayaan itu adalah berpunca dari dia.

17) Orang berjaya beroperasi dalam perspektif perubahan (transformasi)
Orang gagal beroperasi dalam perspektif transaksi.
Nota: Transformasi -Sentiasa melihat dan mencari perubahan, mencari perkara yang baru. 
          Transaksi - Hanya bergerak apabila digerakkan atau disuruh.

Bagaimana? Berapakah ciri-ciri yang ada pada anda? Memang senarai yang dibuat ini bukanlah senarai yang hakiki tetapi ianya adalah hasil kajiselidik, pemerhatian, temubual dan analisa yang dibuat. Mungkin juga masih banyak lagi ciri-ciri yang tidak tersenarai di sini. Tetapi ini semua boleh diambil sebagai panduan untuk kita melihat diri kita sendiri. Di atas sebab itulah saya terpanggil untuk bersama-sama dengan Akademi ini setelah meneliti senarai yang ditulis ini. Alhamdulillah.


Wednesday, 28 May 2014

Ulasan - Orang Berjaya vs Orang Gagal

Teks: wanrohaniah wanabdullah

Alhamdulillah, unifi di rumah sudah pun stabil. Sekarang boleh lah saya membuat ulasan mengenai gambar yang telah saya letakkan pada entri yang lepas iaitu mengenai ciri-ciri yang ada pada seseorang yang berjaya dan ciri-ciri mereka yang sering gagal.

Ini adalah hasil daripada kajian yang dilakukan oleh orang barat sana yang mengkaji, menganalisa dan menemuramah beberapa orang yang berjaya dan orang yang gagal. Rumusan yang diperolehi mereka adalah:

1)  Orang berjaya sentiasa bersyukur dan berterimakasih. Ada sahaja yang dilihat sebagai hikmah dan perlu disyukuri meskipun mendapat musibah. 
Orang gagal selalunya akan merasakan bahawa beliau haruslah sentiasa dihargai dan diberi perhatian lebih atas apa sahaja yang telah mereka lakukan walaupun sedikit.
Nota: Saranan pakar motivasi dari barat - adakan satu jurnal khas untuk menyatakan kesyukuran. Cuba lihat bagaimana perkembangan jurnal tersebut, makin panjang ke atau makin pendek atau terus hilang. :(

2) Orang berjaya suka memberi penghargaan dan memuji sekiranya seseorang itu memang patut dipuji. 
Orang gagal hanya tahu mengkritik sahaja. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan matanya.

3) Orang berjaya sedia memaafkan. Seperti kata pakar motivasi, sebelum tidur maafkanlah semua orang. 
Orang gagal selalunya menyimpan perasaan dendam dan tidak puashati. 
Nota: Pengalaman sendiri - memaafkan mengambil masa. Ada juga sudah maafkan tetapi tidak dapat dilupakan. 

4) Orang berjaya mengambil tanggungjawab di atas kesilapan dan kegagalan. 
Orang gagal sentiasa menyalahkan orang lain, keadaan, situasi dan seumpamanya apabila tidak berjaya. 
Nota: Memang susah untuk mengaku kesilapan. Banyak kali juga sering menyalahkan perkara lain dan situasi atas perkara yang tidak dapat dilakukan. Pernah juga cuba mengakui kesilapan dan memang terasa sangat perit hehe.

5)  Orang berjaya semuanya menyimpan jurnal atau diari.
Orang gagal sering mengaku menyimpan jurnal tetapi sebenarnya tidak.
Nota: Terkena batang hidung sebab pernah melakukan seperti yang dinyatakan. Tetapi apabila saya sudah nekad ingin berubah, saya telah sediakan lebih dari 3 jurnal, jurnal harian, jurnal pencapaian dan jurnal kesyukuran. Mudah-mudahan akan konsisten.

6) Orang berjaya suka apabila rakan atau orang lain juga berjaya. 
Orang gagal selalunya akan berharap secara terang-terangan atau secara senyap agar orang lain turut gagal.
Nota: Pernah dengar cerita mengenai ketam cina dan ketam melayu? Dengki dan hasad selalu kita dengar. Rakan saya sendiri pun sudah terkena. Bila kah ini akan berakhir?Marilah kita doakan.

7) Orang berjaya sentiasa ada matlamat dan panduan hidup.
Orang gagal tidak pernah ada sebarang matlamat hidup.

8)  Orang berjaya sentiasa ada senarai "apa aku ingin jadi"
Orang gagal tidak tahu apa yang dia ingin jadi, apa yang dia ingin dapat di dalam kehidupan.
Nota: Sedih saya katakan, saya dulu pun tidak tahu apa yang saya inginkan. Mungkin kerana tidak betul-betul duduk dan berfikir dalam-dalam. Tetapi setelah saya menetapkan matlamat, baru lah saya tahu apa yang diingini di dalam kehidupan, baik di dunia mahupun di akhirat, alhamdulillah.

Saya berhenti di sini terlebih dahulu. Masih ada 9 ciri lagi yang akan saya ulaskan di entri yang seterusnya. In sya Allah.

Tuesday, 27 May 2014

Orang Berjaya, Orang Tidak Berjaya

Teks: wanrohaniah wanabdullah
Grafik: Simpanan peribadi

Hari ini tak boleh bersiaran lama sebab unifi tiba-tiba ada masalah. Sekejap ok, sekejap tidak. Sekarang ni mengambil peluang ketika dia tengah OK.

Mari kita perhatikan perbezaan antara orang yang berjaya dengan orang yang tidak berjaya. Nanti akan saya ulas di lain entri.



Monday, 26 May 2014

Setiap yang berlaku ada sebabnya.

Teks:  wanrohaniah wanabdullah

Akhirnya Malaysia terpaksa mengalah juga semalam setelah berhempas pulas mengejar mata di Piala Thomas. Permainan yang amat mendebarkan semua. Meskipun tidak dapat menggondol Piala Thomas, saya berpendapat rakyat Malaysia berpuas hati dengan permainan yang ditonjolkan squad badminton negara. Cuma rezeki masih belum memihak kepada kita. Cuba lagi tahun hadapan. Mungkin pemain perlu tingkatkan sedikit sahaja lagi kekuatan mental selain fizikal. Ya lah, siapa tak gabra kalau semua tertumpu kepada kita dan harapan semua terletak pada kita. Sedikit sebanyak memang akan rasa risau dan galau. Maka, ketahanan mental memang amat perlu. Wallahuallam.

Sempat lihat rancangan Reset Minda Prof. Muhaya di penghujungnya. Beliau menyatakan tentang bagaimana kita perlu sentiasa melihat pada diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyalahkan orang lain. Contohnya: Jika kita kena tipu, apakah kita perlu marah pada orang yang menipu atau berterima kasih padanya? Jawapannya: Berterima kasih lah. Kerana mungkin dengan kita ditipu itu Allah sebenarnya ingin menunjukkan sesuatu kepada kita. Menegur kita secara halus. Mungkin kita ditipu itu kerana kita sering melukakan hati kaum keluarga. Atau mungkin kita tidak menderma apabila ada orang meminta. 

Saya memang percaya, setiap kejadian itu ada sebabnya. Telah banyak kali berlaku kepada diri sendiri. Terutama sekali peristiwa pahit yang apabila terkena di waktu itu terasa sangat perit. Tetapi apabila kita dapat melaluinya, di suatu masa hikmahnya pasti akan ternampak. Dan kita akan berkata pada diri sendiri, "Oooo patut lah ia terjadi sedemikian, rupanya kerana aku nak dapat yang sebegini". 

Dengan itu, sentiasalah muhasabah diri sendiri. Sekiranya kita ditimpa musibah, sebelum melatah, duduk sebentar dan ingat kembali apa yang telah kita lakukan atau yang tidak kita lakukan. Jika ada yang salah, kita perbetulkan. Jika kita rasa sudah betul, kita pertingkatkan. Dengan ini, hidup kita juga akan menjadi lebih tenteram dan sentiasa merasa redha di atas segala kejadian. Wallahuallam.

Sunday, 25 May 2014

Hilangkan Stress

Teks: wan rohaniah wan abdullah


Sedang berdebar menyaksikan piala Thomas sekarang ni. Malaysia sudah menang 1-0 hasil penangan Datuk Lee Chong Wei. Tahniah!  Dah lama tidak menonton pertandingan badminton. Akhir sekali tengok masa Hj Misbun yang lawan. Semoga kali ini kemenangan berpihak pada Malaysia. 

Beberapa hari lepas, saya dengan beberapa rakan bersembang di laman whatsapp. Bercerita mengenai stress. Memang stress ni semua orang pasti ada. Tidak banyak, sedikit. Ada orang yang sedar dia sedang stress, ada pula yang tidak sedar. Tak kurang juga yang menidakkan. "Tak, saya tak stress. Saya OK aje". Tiba-tiba dapat tau tekanan darah naik, kepala pening dan migrain menyerang, susah nak tidur dan macam-macam lagi. 

Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan stress. Lain orang lain caranya. Kali ini saya ingin berkongsi satu senaman yang boleh dilakukan untuk menghilangkan stress. Caranya:

Letak jari telunjuk atas dahi, 2 inci dari kening. Buat untuk kedua-dua belah. Kemudian, kedua-dua ibu jari picit di tepi kepala dan tarik nafas panjang-panjang. Ini akan menyebabkan darah mengalir ke atas kepala dan rasa stress yang ada akan dapat dikurangkan. Ini adalah satu teknik yang terdapat di dalam ilmu Neuro Linguistic Programming atau NLP. Cubalah. 

Di lain masa akan saya kongsikan lagi cara-cara untuk hilangkan stress. Sekarang ni ingin menumpukan perhatian kepada piala Thomas. Go Malaysia!!







Friday, 23 May 2014

Apa tindakan seterusnya.

Teks:  wanrohaniah wanabdullah

Masih lagi dalam proses mengemaskini blog ini. Kalau selama ini blog yang saya dah ada tu saya hanya letak benda-benda asas sahaja seperti pautan ke blog kawan-kawan, jumlah pengunjung dan iklan Nuffnang. Apabila memasuki kelas Akademi Bekerja di Rumah ni, banyak juga perkara baru yang saya belajar seperti membina fan page dan meletakkan pautan fan page ke blog. Begitu juga dengan membuat borang tempahan dan bagaimana meletakkannya di dalam blog. Dan saya pasti akan banyak lagi yang akan saya pelajari sedikit demi sedikit.

Saya juga sudah khatam buku Asas Penulisan Blog yang diperolehi dan sedang memulakan pembacaan buku "Super Wahm Super Mom".  Tidak sabar pula untuk khatamkan buku ni. Sebenarnya untuk membaca sesuatu ebook, bagi saya adalah agak mencabar. Ini adalah kerana:
  • Komputer saya sering digunakan oleh anak-anak yang kata mereka akan rasa "boring" kalau tak main game.
  • Tugasan sebagai seorang suri rumah seperti memasak, mengemas rumah, menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.
  • Saya juga membantu suami di dalam bisnes beliau di mana kebanyakan kertas kerja akan saya tolong siapkan. Semalam pun baru siap satu slide untuk suami gunakan di dalam training ISO 9001:2008. Salah satu kelayakan suami saya adalah sebagai seorang konsultan untuk ISO. Kadang-kadang saya juga membantu beliau untuk menyiapkan agenda atau silibus untuk latihan ISO yang akan beliau kendalikan. Sekarang saya juga dalam proses menyiapkan satu lagi slide untuk dipersembahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
  • Melayan anak bongsu yang masih lagi menyusu badan. Ada masanya dia pasti akan datang kacau untuk minum susu hehe.
Semasa saya mula-mula berhenti kerja dahulu, saya masih lagi mempunyai pembantu rumah. Jadi kebanyakan kerja rumah telah pun disiapkan oleh pembantu rumah saya. Saya lebih mudah menumpukan perhatian kepada perkara lain seperti bisnes MLM saya. Tetapi apabila pembantu rumah saya terpaksa balik kampung untuk menjaga ibunya yang sedang sakit, saya dan suami membuat keputusan untuk terus memberhentikan pembantu. Dari saat itu, saya memang terpaksa belajar untuk membahagikan masa. Sehingga kini pun, saya masih lagi mencuba pelbagai cara untuk memastikan segalanya dapat dilakukan dengan sempurna (atau hampir sempurna hehe). Seandainya saya menemui formula yang dirasakan berkesan, akan saya kongsikan di blog ini, in sya Allah. 

Sekarang terpaksa menghentikan penulisan ini untuk melaksanakan urusan yang dinyatakan tadi iaitu menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Sehingga ketemu lagi. Wassalam.



Wednesday, 21 May 2014

Hadirkan diri anda

Teks: wanrohaniah wanabdullah
Imej: Carian google


Nak hadir ke mana? Haha..

Sebenarnya makna hadir di sini adalah "Adakah kita betul-betul berada di tempat yang kita ada itu secara jasad dan minda, dan bukannya sekadar jasad".

Pernah tak kita berada di suatu tempat contohnya di dalam kelas, tetapi minda kita melayang entah ke mana-mana? Mesti pernah kan? Kalau dalam solat, perkataan yang kita guna adalah "khusyuk". Khusyuk mendengar ceramah, khusyuk membaca, khusyuk membuat setiap pekerjaan yang sedang kita lakukan.


                            


Berapa peratuskah tahap kekhusyukan kita? Pengalaman saya sendiri, memang susah untuk khusyuk. Banyak sangat perkara yang datang dalam minda. Bila nak mula melakukan sesuatu kerja, mulalah minda memainkan pelbagai wayanglah, perkataanlah dan macam-macam lagi. Lebih-lebih lagi kalau terpaksa melakukan aktiviti yang tidak digemari. Akibatnya, kerja menjadi lambat untuk siap, anak bercakap tapi tidak mendengar sepenuhnya dan macam-macam lagilah.

Boleh kah kita hentikan aktiviti minda yang terlalu aktif ini? Kenapa tidak, semestinya boleh. Saya juga sudah mencubanya. Jika di dalam solat, saranan untuk khusyuk adalah dengan memahami maksud setiap bacaan dalam solat dan menghayati setiap gerakan yang kita lakukan. Maka, untuk pekerjaan lain, perkara pertama yang harus dilakukan adalah menyedari akan setiap tarikan dan hembusan nafas yang kita lakukan. Jika kita merasakan fikiran mula ingin melayang ke tempat lain, cepat-cepat perhatikan pernafasan kita. "Breath in...breath out". Secara automatik, fikiran kita akan kembali kepada aktiviti yang sedang kita lakukan. Dan kekalkan dengan menumpukan sepenuhnya apa yang perlu dibuat.

Tak elok kah kalau kita ada fikiran atau percakapan dalam minda kita ni? Bukankah ada pendapat mengatakan "Begin with the end in mind"? Bukan tak elok, ada masanya memang kita memerlukannya. Kalau setakat tengah menyapu sampah, tak apa kalau fikiran pun melayang-layang. Sampah tetap akan tersapu. Tetapi, jika kita ingin pastikan kita mempunyai masa yang berkualiti dengan anak-anak, melaksanakan pekerjaan dengan cepat dan berkualiti, dan yang pentingnya solat yang berkualiti, apa salahnya kita tutup sekejap wayang atau radio di dalam minda kita ini dan tumpukan pada apa yang sedang kita lakukan. Barulah orang tidak akan kata kita ni "Ada di sini tapi sebenarnya tiada". Setelah selesai semua perkara penting yang perlu kita lakukan, boleh lah disambung segala pertunjukan di dalam minda tu. 

Jom cuba pastikan yang kita betul-betul menghadirkan diri.

Monday, 19 May 2014

Mulanya Di Sini

Assalamualaikum wrt wbt

Salam perkenalan dari saya Wan Rohaniah Wan Abdullah. Dua minggu lepas saya telah membaca satu ebook berkenaan mencapai impian. Terdapat satu soalan yang bertanya "Apakah senario satu hari dalam hidup anda yang anda impikan?". Seperti biasa, setiap kali saya membaca buku motivasi yang mempunyai aktiviti, saya pasti akan melakukan aktiviti yang disarankan dan saya catatkan pada jurnal peribadi saya. Dan saya telah mencatat bahawa saya ingin sekali menjana pendapatan hasil dari penulisan saya. Salah satu medium yang akan saya gunakan adalah blog. Apa yang akan saya tumpukan dalam blog saya adalah segala pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang saya ada hasil dari kerja saya sebagai pensyarah selama lebih 15 tahun dan ilmu yang saya perolehi dari penglibatan saya dalam bisnes multilevel selama dua tahun. 

Saya telah pun berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa dari tahun 2011, selepas melahirkan anak saya yang ke 8. Memang ramai yang bertanya kenapa mahu berhenti kerja. Jawapan saya mudah sahaja, kerana ingin menumpukan perhatian kepada anak-anak saya. Ya, anak saya 8 orang, 5 lelaki dan 3 perempuan. Saya merasa berpuas hati dengan keputusan saya untuk berhenti kerja. Namun begitu, bagi seseorang yang pernah bekerja, saya tetap ingin menjana pendapatan sendiri. Saya banyak mendengar mengenai SAHM dan WAHM dan saya ingin sekali menjadi seperti mereka. Saya mendaftar dengan affiliate dan juga dengan dropship untuk medapatkan produk untuk dijual. Akan tetapi, saya tidak tahu bagaimana cara untuk melakukannya. Di saat saya tercari-cari bagaimana untuk melakukannya, saya terjumpa dengan blog Puan Masayu Ahmad yang bercerita mengenai Panduan Bekerja Di Rumah. Dari blog tersebut, saya dibawa pula ke laman facebook beliau dan sekaligus ke Akademi Bekerja Di Rumah. Saya masih tidak tahu bagaimana untuk memulakannya sehinggalah saya terbaca post dari Puan Anys Idayu mengenai kelas ABDR. Dan dari situlah mula segalanya sehingga tercipta blog Laman Perkongsian Pembangunan Kendiri ini.

Saya memang minat membaca dan menulis. Saya sentiasa pastikan yang saya akan ada bahan bacaan setiap masa. Banyak ebook dan newsletter yang saya langgani semata-mata untuk dijadikan bahan bacaan. Dan setiap kali membaca, saya akan mencatat pula apa yang dibaca dengan pendapat saya sebagai tambahan. Dan sebagai seorang yang pernah menjadi pendidik, tak dapat tidak saya sentiasa teringin untuk berkongsi apa yang saya baca dengan orang ramai. Atas sebab itulah juga saya telah membina 3 blog yang berasingan mengikut fokus topik bacaan saya iaitu kesihatan, motivasi atau pembangunan kendiri dan catatan pengalaman sendiri. Akan tetapi, dengan adanya 3 blog ini saya menghadapi masalah untuk membuat entri yang konsisten. Tambahan pula saya tidak begitu pandai menggunakan ayat dan bahasa yang sesuai kerana terlalu biasa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara ketika mengajar di kolej dahulu. Saya ada melawat blog mereka yang terkenal seperti Encik Zamri Mohamad dan seumpamanya dan saya berimpian ingin menulis seperti mereka juga. Tulisan mereka sedap dibaca. Penggunaan ayat yang bersahaja tetapi menarik. 

Saya berpegang kepada prinsip "Belajar adalah seumur hidup". Dan setiap individu pasti ingin sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi yang lebih baik. Harapan saya, dengan ilmu yang saya perolehi hasil pembacaan saya disamping pengalaman berhadapan dengan pelbagai kerenah anak-anak, pelajar, rakan sekerja serta masyarakat sekeliling akan dapat memberi motivasi dan semangat kepada sesiapa yang membaca blog ini. Begitu juga pengalaman yang saya perolehi hasil dari penglibatan saya dengan bisnes multilevel yang banyak menekankan kesihatan dan kecantikan akan saya curahkan di blog ini untuk perkongsian. 

Sekian, terimakasih.