Sunday, 12 November 2017

Tempat Baru, Semua Baru

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: lukisan sendiri


Lamanya tak pegang komputer. Banyak perkara yang berlaku sepanjang bulan september dan oktober. Sekarang dah masuk bulan November. Mudah-mudahan semakin reda lah.

Sekarang aku (tukar kata nama lah pulak) dah berada di rumah baru. Dah lebih seminggu pindah masuk dari 1.11.2017 hari tu. Alhamdulillah, dipermudahkan Allah jumpa rumah baru yang banyak memberi kemudahan pada aku juga. Mudah untuk hantar anak sekolah, mudah untuk urusan masak-memasak dan mudah juga untuk urusan kesihatan (tempat nak exercise banyak dan sangat dekat). 

Rumah lama - dah dijual. Harapan aku adalah urusan untuk dapatkan balik duit hasil jualan tu akan dipermudahkan juga dan dipercepatkan. 

Sekarang, untuk tahun baru 2018, boleh lah cipta impian baru. Dengan segalanya serba baru. Berhijrah betul-betul gitu. Mudah-mudahan juga mendapat keberkatan.

Oh ya, in sya Allah sedikit masa lagi buku sahabat saya (tukar sekali lagi) di mana illustrasi lukisan saya dipermuatkan akan diterbitkan tak lama lagi. Dan saya pun dah dapat sedikit bayaran hasil ilustrasi tersebut, terima kasih sahabat :). Kalau boleh jadi satu kerjaya untuk saya elok jugak tu. Mohon diperkenankan, amiin.


Wednesday, 11 October 2017

Anak Derhaka?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: hak milik sendiri

Hari tu terlihat video tular yang menunjukkan seorang remaja memukul ibunya kerana duit. Seperti biasa, saya tidak suka memberi apa-apa komen kerana tidak tahu cerita sebenar. Cuma rasa terkesan sebab sebagai seorang anak, tidak sepatutnya melakukan ibunya sedemikian. Walau seteruk mana pun ibu itu. 

Maka, tercetus lah ilustrasi ini:

Satu doa untuk remaja tersebut dan juga ibunya. Kerana saya juga ada anak. Ramai. Lapan orang. Saya pun tidak tahu sejauh mana ajaran saya berkesan kepada anak-anak saya. Ilustrasi ini pun lebih kepada harapan agar anak-anak saya faham tentang betapa kita sebagai seorang Islam perlu mentaati ibu bapa selagi mereka tidak menyuruh kepada perkara yang dilarang oleh Allah.

Ilustrasi ini ada saya muatnaik di laman facebook. 

Alhamdulillah, keesokan harinya saya terbaca dalam harian metro bahawa remaja ini telah pun memohon ampun dengan ibunya. Syukur.

Dan saya juga membaca kisah bahawa remaja ini sebenarnya seorang budak yang baik. 

Namun begitu, baik bagaimanapun kita, jika sekali kita menyakiti hati ibu kita, semua kebaikan itu boleh terhapus. Seperti kisah Alqamah di zaman Nabi SAW. Wallahuallam.

Tuesday, 26 September 2017

Kau pilih, aku pilih

Teks:Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Baru lepas belajar cara-cara untuk "shading" agar nampak lebih kemas. Guna putik kapas aje. Senang juga bila dah cuba buat tu. 

Kalau dulu selalu guna jari je. Habis hitam jari. Lepas tu guna kertas atau tisu. OK jugak. Tapi tak kemas sangat. 

Bila tengok tutorial di internet, ramai yang guna alat "blender" nama dia. Rupa macam pensel, jadi senang la nak kemaskan "shading" tu. Dah cuba cari juga alat ni kat kedai buku dan alatulis kat kawasan Bangi ni tapi tak jumpa. Jadi alternatif yang dia beri, guna putik kapas. Menjadik la jugak.

Masih banyak yang perlu dipelajari. Banyak rupanya teknik yang boleh digunakan. Elok juga kalau tahu banyak, lepas tu sendiri buat pilihan la nak fokus pada teknik yang mana.

Kehidupan pun begitu juga. Banyak pilihan untuk kita. Bak kata orang putih "Apa yang kita dapat sekarang adalah merupakan himpunan pilihan yang kita buat di masa lalu". Puas hati kah dengan apa yang kita ada sekarang? Kalau sudah puas hati, cuma perlu kekalkan atau cuba dapat yang lebih baik. Kalau tak puas hati? Sendiri mau ingat la, kan? Hehehehe.

Tuesday, 19 September 2017

Kesilapan - Apa Perlu Kita Buat?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Macam ada yang tak kena je dengan lukisan kat sebelah ni kan? Macam tak seimbang kat mana-mana. Hehehe.

Masa lukis gambar ni, bila buat "outline" dia nampak OK dan seimbangnya. Tapi bila dimasukkan "shading" baru nampak ke laut sikit. 

Tapi lepas siap semua baru nampak. Masa dalam proses tu tak nampak pun. 

Begitu lah kehidupan kita pun. Tak sempurna. Mesti ada silap. Walaupun tak nampak silapnya pada permulaan tapi bila akhirnya nampak silap, apa perlu kita buat?

Kalau boleh baiki, elok lah dibaiki. Kalau tak boleh baiki, belajarlah supaya lain kali tak buat lagi. 

Macam kes yang tengah viral sekarang ni lah. Kes pembakaran sekolah tahfiz tu. Sesak juga dada membacanya. Tapi lagi sesak dada membaca komentar dan telahan para netizens. Yang salah tu memang dah tentu salah. Tapi yang tukang bagi komen tu, betul ke? 

Semua kata generasi muda kita dah parah. Tapi bila baca komen-komen dan teori-teori generasi yang tak berapa nak muda pun nampak parah juga. Sesuka hati membuat hukuman. Mudah betul melatah masing-masing. Nak nasihat? Buat lah cara nasihat. Bukan secara hentaman. Entah la, semua ni pun bergantung kepada persepsi masing-masing. Yang merasa mereka sangat betul, akan terus menghentam. 

Apa-apapun, bagi diri saya, kalau bab hukum menghukum tu elok lah serah kepada Al Muntaqim (Yang Maha Memberi Hukuman) sebab Dia lebih sempurna. Kita sebagai hamba, baca, hadam dan menginsafi serta belajar. Muhasabah. Kerana kita memang tidak sempurna. Wallahuallam.

Wednesday, 13 September 2017

Kerana Mulut

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Grafik: sendiri

Latihan lagi. Kali ni buat latihan mulut pula. Memang tak mudah sebenarnya nak dapatkan kualiti lukisan yang diidamkan. Bila lihat tutorial di internet, banyak juga alatan yang mereka gunakan untuk bantu cantikkan lukisan mereka. Saya cuba juga cari alat-alat tersebut di kedai alat tulis di sini tapi banyak yang tak ada. Mungkin kena order online jugak lah nanti.

Masih banyak latihan perlu dibuat. 

Bila lukis mulut, terfikir la pulak,

"Pernah tak kita terlepas cakap yang menyebabkan orang lain terasa dengan kita, atau apa yang kita cakap tu membuatkan orang jadi tak bersemangat, tertekan dan sebagainya?"

Mesti pernah kan? Ada ke orang yang tak pernah tersilap cakap? Mungkin ada kot, tapi tak ramai, itu saya yakin. 

Saya sudah tentu pernah. Dan saya juga pernah banyak kali terkena seperti yang saya tulis tu. Ada sesetengah orang yang memang tak boleh lari, setiap kali bercakap mesti ada je perkara yang menyakitkan hati yang keluar dari mulut dia. Mungkin bagi dia itu perkara biasa je. Mungkin juga niat dia adalah baik untuk pastikan kita jadi lebih bagus. Tetapi ayat-ayat yang digunakan sebenarnya masih boleh dipertimbangkan. 

Sebab itu, saya selalu berhati-hati bila ingin berbicara atau berkata-kata. Tambahan pula bila saya ingin berkata-kata dengan anak-anak saya sendiri, Kalau boleh, tak mahu lah nanti mereka menjadi hilang semangat dan tidak yakin pada diri sendiri hanya kerana ibunya berkata sesuatu yang membolehkan mereka merasakan sedemikian. Hmmmm...

Akhir kata, kalau dah tak tahu nak cakap apa yang baik, diam itu lebih afdhal. Wallahuallam.